Nukilan Minda.

Pantun Kesidang.

Sayup Kesidang di puncak nan tinggi,
Menebarkan haruman serata alam,
Buku dibaca ilmu dicari,
Barulah hidup aman tenteram.

Harum kesidang serata alam,
Kelopaknya putih seindah salju,
Budaya membaca jadikan amalan,
Barulah menjadi bangsa yang maju.

Merayap kesidang di atas para,
Kelopak berjambak disinari mentari,
Jadikan buku teman setia,
Untuk pedoman kemudian hari.

Kesidang Laguna jadi sebutan,
Sudah terkenal dimana-mana,
Marilah semua kita manfaatkan,
Gedung ilmu, milik bersama.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Cerita Sebuah Buku

Inilah buku,
yang ku baca sejak dulu,
Helaian-helaian kertas,
Dijilid kemas menjadi satu.

Di dadanya adalah hamparan ilmu,
Tercoret oleh tinta satu persatu,
Dari sekecil huruf ABC,
Membentuk kata demi kata,
Membawa ke frasa penuh bermakna.

Lembaran demi lembaran,
Tersusun kemas baris ayat,
Sering ku cerap setiap kalimat,
Mencerna nasihat juga maklumat,
Mencetus minda pemikir sejagat.

Melaluinya ku tebarkan pandangan,
Ku saksikan ragam seantero dunia,
Hanya melalui bait tulisan,
Rentetan sejarah kekal dalam lipatan.

Cerita selokanya tak pernah pudar,
Mewariskan adat penuh berhemat,
Lakaran corak keindahan alam,
Rakaman syahdu gemersiknya bayu,
Cerminan hidup panduan insan.

Buku,
Gedung ilmu,
Khazanah bangsa sangat berharga.
Menjadi azimat seluruh nusa.

Ajieda76.


Tiada ulasan: